Monday, September 20, 2010

Ringkasan Laporan IMAM Sabah Relief Mission 2010

Sukarelawan IMAM Ireland dan CUCMS


Pengenalan
Seperti tahun-tahun sebelumya, IMAM akan menghantar sejumlah pelajar untuk member khidmat kepada penduduk tempatan. Tahun 2010 memperlihatkan impian IMAM untuk meluaskan sayapnya ke daerah luar semenanjung Malaysia. Sabah negeri di Bawah Bayu telah dipilih sebagai destinasi khidmat mesra ini. Atas perbincangan dan rundingan bersama pihak IMAM Malaysia yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, lokasi yang dikenalpasti adalah FELDA SAHABAT, Lahad Datu.
Bermula dengan mesyuarat pertama secara panggilan telefon internet pada 23 Februari 2010, sedikit demi sedikit pelan projek dibina bersama dan lebih ramai sukarelawan dikumpul untuk merealisasikan projek ini. Setelah mendapat lampu hijau, projek ini dihebahkan kepada pelajar-pelajar lain melalui jaringan kenalan kami untuk mengutip derma selain dana daripada jualan dan derma peribadi daripada para sukarelawan sendiri.

            Kutipan dana tidak mewah, pelan projek nampak samar sehingga ke hari terakhir sebelum berangkat dan kebanyakan kami tidak pernah bersua muka sehingga tiba di lapangan terbang  namun semangat kental para sukarelawan membawa kami ke Sabah pada tarikh yang telah ditetapkan bersama-sama hasrat untuk menumpahkan bakti kepada penduduk di FELDA SAHABAT. Tidak kesemua pelan direaliasikan seperti yang dirancang. Terdapat beberapa perubahan dibuat dan segelintir daripadanya dilakukan pada saat-saat akhir kerana kekangan masa dan untuk menepati kehendak pihak sekolah.
            Komunikasi adalah sukar kerana jarak yang jauh dan kami sendiri tidak mampu meluangkan masa yang cukup untuk persedian projek ini dek jadual kami sebagai pelajar perubatan yang ketat. Bulan-bulan terakhir sebelum projek berlangsung ternyata lebih sukar kerana kami semua menghadapi peperiksaan akhir tahun dan ketidaksamaan tarikh peperiksaan menyebabkan kami terpaksa menangguhkan urusan projek dalam tempoh yang lebih lama. Ini adalah salah satu cabaran besar buat kami kerana ia mencacatkan pengurusan projek. Pun begitu, pengalaman ini mendidik kami yang merupakan “freshies” untuk melakukan yang lebih baik untuk projek akan datang.

 Ringkasan Eksekutif Projek
            8 Julai 2010: Kesemua 23 pelajar-pelajar UK dan Ireland berkumpul di LCCT sekitar pukul 5 pagi. Penerbangan ke Kota Kinabalu adalah pada pukul 6.50 pagi dan kami sampai mengikut jadual pada pukul 9.30 pagi. Kumpulan kedua berangkat pada pukul 7.50 pagi dan sampai sejam selepas kumpulan pertama. Sementara menuggu kedatangan pelajar-pelajar dari CUCMS, kebanyakan dari kami bersiar-siar sekitar kota dan berkumpul semula pada pukul 5 petang. Bas yang disewa khas untuk ke Sekolah Menengah Desa Kencana bertolak pada pukul 5.50 petang.

9 Julai 2010: Kami tiba di sekolah pada pukul 4.30 pagi dan ditempatkan di hostel pelajar yang terletak di dalam kawasan sekolah. Kami dijadualkan untuk hadir di perhimpunan pada pukul 6.30 pagi dan Kiosk Kesihatan dimulakan pada pukul 8.30 pagi dan acara berlangsung selama tiga jam. Kiosk Kesihatan pada asalnya merupakan aktiviti ketiga selepas program motivasi dan sunathon namun telah dianjak ke aktiviti pertama. Aktiviti itu kami kira tepat pada masanya kerana hari tersebut merupakan hari terbuka di mana ibu bapa hadir untuk mengambil laporan pengajian serta berdiskusi dengan guru-guru.
Kiosk Kesihatan
 Sekitar 200 orang penduduk kampung termasuk guru-guru dan pelajar datang ke kantin untuk memeriksa kesihatan mereka dan menghadiri rundingan dengan sebahagian pelajar untuk berbincang mengenai tahap kesihatan mereka.  Pada sebelah petang kami dibawa oleh cikgu Adlan berjalan-jalan di sekitar kampung dan ke pantai untuk makan tengahari.

            10 dan 11 Julai 2010: Aktiviti Sunathon juga mendapat sambutan baik dan hampir mencapai target yang kami sasarkan iaitu 150 orang. Acara ini berlangsung selama dua hari pada hari Sabtu dan Ahad dan hari kedua cumalah setengah hari oleh kerana pelajar CUCMS serta dua orang doktor jemputan kami beransur ke Pulau Semporna pada petang tersebut. Para sukarelawan yang lain mendapat undangan khas dari cikgu Maizatul untuk makan petang di rumah beliau.
Sunathon (Zain dan Prof Latif beraksi!)


12 Julai 2010: Program Motivasi dijalankan pada keesokan harinya bersama lebih 100 orang pelajar dari lima buah kelas. Satu dari tingkatan empat dan lima dan tiga lagi dari tingkatan tiga. Ceramah mengenai dadah, zina dan STD (sexual transmitted disease) disisipkan antara LDK (latihan dalam kumpulan).
Flying Sharing Moment


 Program ini diakhiri dengan  “Flying Sharing Moment” di mana kami berkongsi pengalaman peribadi kami di negara asing sebagai pembakar semangat kepada semua pelajar untuk berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan PMR atau SPM. 
Ceramah Anti-Zina oleh Izzat Hafifie


Ceramah anti dadah dan anti zina turut diberikan kepada pelajar-pelajar tingkatan satu dan dua selama satu jam pada sebelah petang. Sekali lagi para sukarelawan dijamu oleh salah seorang penduduk kampung dengan BBQ makanan laut di pinggiran pantai.

            13 Julai 2010: Kami bertolak pulang pada pukul 6 pagi hari Selasa dengan dihantar oleh pengetua sendiri dan Cikgu Maizatul selaku penolong kanan Hal Ehwal Murid sekolah dan dihadiahi sedikit bingkisan khas daripada mereka. Sebelum sampai di Kota Kinabalu kami berhenti sebentar di Kundasang untuk menikmati keindahan kawasan tersebut yang merupakan kawasan kaki Gunung Kinabalu. Kami tiba di kota Kinabalu sekitar pukul 5.30 petang dan check-in di hotel yang telah ditempah untuk penginapan kami selama satu malam.

            14 Julai 2010: Hari terakhir di Sabah. Kebanyakan sukarelawan mengambil masa ini untuk berehat dan berjalan-jalan di sekitar Kota Kinabalu dan sebahagian yang lain meluangkan masa ke pulau peranginan berdekatan iaitu Pulau Manukan. Penerbangan balik adalah pada pukul 6.30 petang dan penerbangan kedua pada pukul 6.50 petang. Penerbangan pulang hanyalah mengambil masa 2 jam dan kesemua kami sampai dengan selamat.
            Lebihan ubatan dan peralatan di bawa pulang ke Kuala Lumpur untuk kegunaan di masa hadapan. Lebihan dana juga disalurkan semula kepada pihak IMAM untuk projek-projek yang akan datang. 



Disediakan oleh, 
Sophia Waheida Ahmad
(Setiausaha Projek Khidmat Mesra Sabah 2010)


No comments:

Post a Comment